Puisi-puisi Tradisional #4
NASIHAT (PANTUN)
TANAM BALIK BUAH PERIA,
BUAH PERIA MAHAL SEKALI;
BUAT BAIK BERPADA-PADA,
BUAT JAHAT JANGAN SEKALI.
KETUA-KETUA RAJA DUDUK,
JANGAN DITIMPA PAGAN;
DIKETAHUI GANJA ITU MABUK,
APAKAH SEBAB MAKA DIMAKAN?
MENINJAU BERPADI MASAK,
BATANG KAPAS BERTIMBUL JALAN;
HATI RISAU DIBAWA GELAK,
BAGAI PANAS MENGANDUNG HUJAN.
PULAU DI BALIK PULAU GOSONG,
PANDAN DI JAWA DIRANGGUNGKAN;
JANGAN KATA TERDORONG-DORONG,
BADAN DAN NYAWA MENANGGUNGKAN.
HANGUS BERTIH BERWARNA MERAH,
MARI DITUANG KE DALAM KAIN;
SUAMI YANG LETIH USAH DIMARAH,
KELAK TERBANG KE BUNGA LAIN.
ANAK CINA MEMBAWA SURAT,
DARI PERAK LANGSUNG KE DELI;
HIDUP DI DUNIA BIAR BERADAT,
BAHASA TIDAK DIJUAL BELI.
PISANG KELAT DIGONGGONG HELANG,
JATUH KE LUBUK LNDERAGIRI;
JIKALAU BERDAGANG KE RANTAU ORANG,
BAIK-BAIK MEMBAWA DIRI.
Tema:
Nasihat yang dijadikan panduan hidup kepada masyarakat agar sentiasa melakukan kebaikan. Pelanggaran norma dalam masyarakat akan membawa keburukan dalam kehidupan.
Maksud:
Rangkap 1 -
Jika hendak membuat pekerjaan yang baik, janganlah berlebih- lebihan sehingga tidak kena pada tempatnya, dan pekerjaan yang jahat hendaklah dihindarkan sama sekali.
Rangkap 2 -
Sesuatu yang haram dan memabukkan hendaklah tidak diambil sama sekali.
Rangkap 3 -
Jangan dibiarkan perasaan sedih dan risau berpanjangan.
Rangkap 4 -
Tutur kata haruslah sentiasa dijaga agar kita tidak menanggung sengsara.
Rangkap 5 -
Seseorang isteri hendaklah mengelakkan diri daripada memarahi suami yang sedang letih kerana dikhuatiri dia akan mencari perempuan lain.
Rangkap 6 -
Anak hendaklah beradat ketika hidup di dunia dan bahasa itu tidak dapat dijual beli.
Rangkap 7 -
Para perantau dinasihatkan agar pandai membawa diri di tempat orang.
Bentuk:
1. Pantun ini terdiri daripada tujuh rangkap.
2. Bilangan baris pada setiap rangkap adalah sama iaitu empat baris satu rangkap.
3. Ada pembayang dan maksudnya.
4. Jumlah suku kata dalam pantun ini antara tujuh hingga sebelas suku kata.
5. Pantun ini berbentuk terikat.
Nilai:
1. baik hati - Kita hendaklah sentiasa melakukan kebaikan dan menjauhkan diri daripada melakukan kemungkaran.
2. rasional - Kita mestilah mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang haram supaya hidup kita tidak binasa.
3. berhati-hati - Kita mestilah berhati-hati dengan tutur kata supaya diri kita terhindar daripada sebarang bencana.
Gaya Bahasa:
Asonansi: Batang kapas bertimbal jalan - perulangan vokal a
Aliterasi: Buat baik berpada-pada - perulangan konsonan b
Inversi: Buat jahat jangan sekali
Simile: Bagai panas mengandung hujan
没有评论:
发表评论